~Takaful?~

*DALIL *

Mengapa Perlu Takaful???

Muhammad Hisyam bin Mohamad

Fellow: 16/01/2007 -( Berita Harian )

Musibah adalah ketentuan daripada Allah s.w.t. Ia merupakan satu ujian atau cubaan ke atas umat manusia bagi menguji tahap kesabaran mereka. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t melalui firmannya di dalam surah al-Baqarah ayat 155-157 yang bermaksud:

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar [155].Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali [156].Mereka itulah orang yang dilimpahi dengan kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk hidayah-Nya [157].

Ada kalanya musibah ini merupakan satu ujian yang berpunca daripada perbuatan manusia itu sendiri. Lantas Allah s.w.t menurunkan balanya agar manusia kembali sedar akan kesilapan yang mereka lakukan dan kembali mengamalkan apa yang dianjurkan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Hal ini dapat diperhatikan melalui firman Allah s.w.t di dalam surah ar-Ruum ayat ke-41 yang bermaksud:

Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).

Sebagai hamba, kita perlu menerima ketentuan ilahi dan perlu pasrah kepada qada' dan qadarNya. Bagaimanapun ini bukan bermaksud kita perlu berdiam diri tanpa perlu berikhtiar untuk mengelak ia daripada terjadi atau mengurangkan risiko yang bakal menimpa jika berlaku.

Islam mengajar kita supaya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya ujian ini. Dengan kata lain, tanpa persediaan awal, kita mungkin berhadapan dengan risiko yang lebih berat lagi kesan daripada ujian tadi.

Sehubungan dengan itu, risiko-risiko ini perlu diurus dengan bijaksana supaya kesannya dapat dikurangkan dan tidak memberi kesan yang mendalam ke atas ketahanan fikiran dan jasmani manusia.

Dalam hal ini, konsep takaful merupakan kaedah pengurusan risiko yang boleh diterimapakai untuk mengurangkan penderitaan yang bakal ditanggung akibat musibah yang mungkin melanda.

Risiko yang dimaksudkan di dalam konsep takaful merujuk kepada kerugian yang ditanggung akibat kehilangan atau kemusnahan harta benda (takaful am); dan perkara-perkara yang berkait dengan tubuh badan manusia seperti nyawa, penyakit dan sebagainya (takaful keluarga).

Bagaimanapun, bila kita membicarakan tentang persoalan yang berkaitan dengan perlindungan menerusi sistem takaful, kita lebih cenderung untuk memikirkan perlindungan ke atas diri dan nyawa. Kita lebih memikirkan untuk melindungi diri daripada penyakit-penyakit kritikal, perlindungan persaraan atau pendidikan anak-anak berbanding dengan keperluan untuk melindungi harta benda.

Risiko yang berkaitan dengan harta benda sekarang ini memang banyak. Kita perlu melindungi harta kita daripada kecurian, kebakaran, banjir, ribut, kemalangan, gempa bumi dan sebagainya.

Bukan bermaksud untuk mengatakan bahawa perlindungan takaful keluarga tidak penting, tetapi kita sebenarnya perlu mengimbangi pengurusan risiko agar ia merangkumi kedua-dua aspek iaitu nyawa dan harta benda.

Dalam kes bencana banjir yang sering melanda negara pada setiap penghujung dan awal tahun, penduduk rata-rata mengalami kemusnahan tempat tinggal dan harta benda. Premis perniagaan serta kenderaan juga tidak terkecuali. Bagi yang mengambil perlindungan takaful , mungkin mereka boleh mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pampasan kepada syarikat pengendali takaful mereka. Manakala, bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang pelan perlindungan, ia merupakan satu yang mendukacitakan.

Produk-produk takaful am seperti takaful kebakaran, takaful pemilik dan isi rumah (houseowner's and householder's takaful) merupakan antara produk-produk yang menawarkan perlindungan ke atas harta benda kita jika terjadi sebarang bencana seperti kebakaran, kecurian mahupun banjir.

Bagaimanapun produk-produk yang dinyatakan di atas hanya melindungi bangunan, rumah atau apartmen yang diperbuat daripada konkrit sepenuhnya. Ini merupakan satu kekangan kepada pemilik-pemilik rumah kayu terutamanya yang tinggal di desa-desa untuk menyertai skim takaful di atas.

Rumah sebagaimana yang kita tahu adalah satu keperluan. Rumah yang selesa berperanan dalam mewujudkan satu persekitaran kehidupan yang positif kepada warganya. Ini bertepatan dengan maksud hadis berikut:

Daripada Saad r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Empat perkara yang membawa kebahagiaan iaitu isteri yang solehah, rumah kediaman yang luas (lapang), jiran yang baik dan kenderaan yang selesa". (Riwayat al-Baihaqi).

Mungkin sudah tiba masanya bagi pengendali takaful untuk memikirkan produk yang sesuai bagi para pemilik rumah kayu melindungi harta benda mereka daripada bencana-bencana yang biasa melanda negara seperti banjir ini.

Bagaimanapun pada masa yang sama, masyarakat perlu meningkatkan kesedaran dengan mengambil tahu cara-cara yang terbaik untuk mengurus risiko. Perlindungan takaful merupakan satu cara yang terbaik yang boleh digunapakai kerana ia selaras dengan kehendak syariah.

Memang kita mengakui bahawa tidak semua jenis kerugian itu dapat diatasi secara seratus peratus. Sebagai contohnya, kesan emosi atau trauma yang dialami akibat kehilangan harta atau kematian orang tersayang amat sukar untuk ditukarganti dengan pampasan wang ringgit. Bagaimana melalui pampasan yang terdapat di dalam konsep takaful , ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kesan kerugian serta tekanan emosi yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang ditimpa musibah ini.

Apa yang penting ialah perlu ada keseimbangan di antara pengurusan risiko ke atas nyawa / diri dan perlindungan risiko ke atas harta benda.

Akan tetapi kesedaran untuk menyertai takaful terutama di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam masih lagi rendah.

Menurut Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Mohd. Razif Abdul Kadir, pada masa ini jumlah rakyat Malaysia yang memiliki insurans, hanyalah 44 peratus sahaja.

Jika ditinjau dari sudut penyertaan skim insurans konvensional, hanya 5-8% sahaja kaum Melayu mempunyai perlindungan insurans. Mungkin isu-isu yang berkaitan dengan syariah merupakan sebab utama orang Melayu kurang berminat untuk membeli insurans konvensional.

Apa yang peliknya, penyertaan mereka untuk mendapatkan perlindungan takaful juga rendah. Ini yang dikatakan kesedaran kepentingan untuk bertakaful masih lagi belum menjadi satu keutamaan di kalangan orang Islam di Malaysia.

Mungkin kesedaran untuk mendapatkan perlindungan secara Islam ini perlu diasuh dari peringkat kecil lagi di mana kempen-kempen perlu dimulakan di peringkat sekolah rendah atau menengah. Tidak pun ia dimasukkan ke dalam kursus-kursus perkahwinan bagi memberi kesedaran tentang peri pentingnya untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bagi mereka yang ingin memasuki alam rumahtangga dan memulakan keluarga sendiri.

Surah Al Hajj ayat 40-41, Allah berfirman:

Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang munkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan.

Surah An Nur bilangan ayat ke 55:

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin
top